Saturday, January 14, 2006

Penggunaan Telefon Bimbit Di Sekolah Dibantah

Jangan cetus masalah -- Pelbagai pihak bantah pelajar guna telefon bimbit di sekolah
KUALA LUMPUR 13 Jan. -
Pelbagai pihak daripada ahli politik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan tokoh pendidik meminta Kementerian Pelajaran menarik balik kebenaran bersyarat pelajar menggunakan telefon bimbit di sekolah kerana ia membawa lebih keburukan berbanding kebaikan.
Mereka berpendapat, penggunaan telefon bimbit oleh pelajar di sekolah tidak akan membantu meningkatkan mutu pendidikan, sebaliknya menyumbang kepada masalah disiplin di sekolah-sekolah.
Jika keadaan ini dibiarkan, kata mereka, dasar pendidikan negara yang bertujuan melahirkan pelajar berkualiti dari segi ilmu dan moral tidak akan tercapai.
Pengerusi Yayasan Pendidikan Cheras, Senator Datuk Syed Ali Alhabshee berkata, penggunaan telefon bimbit boleh menyebabkan salah laku moral yang akhirnya menjejaskan dasar pendidikan negara.
``Sebagai contoh, pelajar mungkin akan menghendap dan merakam gambar pelajar atau guru perempuan di dalam tandas.
``Lebih dibimbangi sekiranya gambar ini disebarkan oleh pelajar yang tidak bertanggungjawab menerusi telefon bimbit,'' katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr. Ahamad Sipon semalam mengenai kebenaran menggunakan telefon bimbit di kalangan para pelajar.
Kebenaran itu yang akan berkuat kuasa secepat mungkin tertakluk kepada syarat-syarat dalam Garis Panduan Penggunaan Telefon Bimbit Oleh Murid Sekolah yang dikeluarkan oleh Kementerian Pelajaran, semalam.
Sehubungan itu, Syed Ali yang juga Ketua UMNO Bahagian Cheras mencadangkan supaya pihak sekolah membenarkan pelajar menggunakan telefon di pejabat sekolah sekiranya ingin menghubungi ibu bapa.
``Sekolah perlu membenarkan pelajarnya yang mempunyai hal kecemasan untuk menggunakan telefon di pejabat,'' katanya.
Bekas Ketua Pengarah Pendidikan, Tan Sri Abdul Rahman Arshad pula percaya, pelbagai masalah akan timbul sekiranya para pelajar dibenarkan membawa telefon bimbit di sekolah termasuk kes kecurian.
Selain itu, katanya, penggunaan telefon bimbit oleh pelajar di sekolah akan menimbulkan jurang pemisah antara pelajar miskin dan kaya hingga mencetus suasana yang tidak harmoni.
Setiausaha Agung Kesatuan Guru-Guru Dalam Perkhidmatan Pelajaran Malaysia (Kongres), Awang Mohamad melihat implikasi buruk mungkin tercetus sekiranya perkara itu dibenarkan.
Menurutnya, para pelajar lebih banyak terdedah kepada penyelewengan penggunaan alat telekomunikasi tersebut.
``Teknologi canggih yang menjadi perisian setiap telefon bimbit berupaya membawa minda para pelajar ke alam lain selain di bilik darjah,'' ujarnya.
Beliau berkata, meskipun pelajar hanya dibenar menggunakan telefon bimbit sebelum waktu persekolahan bermula, semasa waktu rehat dan selepas sesi persekolahan tamat, tanpa disedari teknologi itu `membunuh' masa depan para pelajar.
Presiden Persatuan Perlindungan Pengguna Malaysia (PPPM), Mohd. Firdaus Abdullah turut melahirkan kebimbangan terhadap penggunaan telefon bimbit di kalangan pelajar di sekolah.
``Telefon bimbit boleh menyebabkan masalah pencemaran bahasa, penyebaran gambar-gambar lucah, perhubungan bebas melalui telefon dengan orang tidak dikenali yang seterusnya boleh menjurus kepada keruntuhan moral.
``Malah, dengan menggunakan telefon bimbit semasa waktu rehat, kemungkinan besar para pelajar akan menggunakannya untuk bermain `game' atau SMS dan semua ini mampu menjejaskan tumpuan mereka terhadap pelajaran,'' katanya.

Sumber: Utusan Malaysia. 14 Jan 2006

Thursday, January 12, 2006

Wajarkah Penggunaan Handphone di Sekolah dikalangan pelajar

Pelajar dibenar guna telefon bimbit di sekolah
Oleh Mustafa Kamal Basri
KUALA LUMPUR 12 Jan. - Para pelajar kini dibenar menggunakan telefon bimbit di sekolah, kata Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr. Ahamad Sipon.
Bagaimanapun katanya, kebenaran tersebut yang akan berkuat kuasa secepat mungkin tertakluk kepada syarat-syarat dalam Garis Panduan Penggunaan Telefon Bimbit Oleh Murid Sekolah, yang dikeluarkan oleh Kementerian Pelajaran.
Menurutnya, pelajar hanya dibenar menggunakan telefon bimbit sebelum waktu persekolahan bermula, semasa waktu rehat dan selepas sesi persekolahan tamat.
``Kementerian Pelajaran tiada halangan membenarkan penggunaan telefon bimbit oleh murid atas desakan ibu bapa bagi memudahkan mereka memantau dan memastikan keselamatan anak-anak mereka,'' katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Sebelum ini, sejak sembilan tahun lepas, semua pelajar dilarang membawa dan menggunakan telefon bimbit di sekolah.
Larangan tersebut mula dikuatkuasakan pada 13 Mei 1997 semasa Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menjadi Menteri Pendidikan.
Ahamad memberitahu, garis panduan itu juga menetapkan:
* Semua telefon bimbit perlu dimatikan sewaktu aktiviti pengajaran dan pembelajaran serta kokurikulum.
* Penggunaan telefon bimbit termasuk Khidmat Pesanan Ringkas (SMS), permainan, nada dering, kamera dan lain-lain hanya boleh digunakan di kantin, koridor dan ruang legar sekolah.
* Telefon bimbit boleh dirampas oleh pihak sekolah jika murid-murid tidak mematuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan.
* Murid-murid diingatkan bahawa membawa barangan yang berharga ke sekolah adalah atas risiko sendiri.
Menurut Ahamad, Kementerian Pelajaran telah mengarahkan semua Jabatan Pelajaran Negeri segera menyampaikan garis panduan tersebut ke sekolah-sekolah bagi membolehkannya dilaksanakan secepat mungkin.
Beliau juga menjelaskan, Surat Pekeliling Ikhtisas Bil.11/2005 bertarikh 23 Disember 2005 yang membenarkan penggunaan telefon bimbit oleh murid sekolah tidak ditarik balik.
Sementara itu, Presiden Majlis Permuafakatan PIBG Kebangsaan (Permuafakatan), Prof. Madya Mohd. Ali Hassan berkata, kebenaran itu perlu dilaksanakan secara berperingkat-peringkat, membabitkan pelajar sekolah menengah terlebih dahulu.
``Jika dasar itu didapati berkesan, barulah kita perluaskan kepada murid sekolah rendah pula,'' katanya.
Beliau juga mengingatkan ibu bapa, guru dan pentadbir sekolah supaya memantau dan memastikan garis panduan itu dipatuhi.
Pihak sekolah juga, katanya, perlu menyediakan tempat untuk menyimpan telefon bimbit bagi memastikan ia hanya digunakan pada waktu yang ditetapkan sahaja.
``Kita bimbang pelajar menyalahgunakan kemudahan itu atau pihak tertentu mengambil kesempatan ke atas pelajar dengan menggunakan telefon bimbit kepunyaan mereka,'' katanya.
Mohd. Ali berkata, pemantauan juga perlu dibuat bagi mengelakkan pelajar terlalu asyik menggunakan telefon bimbit, menghantar SMS dan Khidmat Pesanan Multimedia (MMS) sehingga menjejaskan tumpuan mereka kepada pelajaran.
``Kita juga bimbang wujud budaya tidak sihat di kalangan pelajar apabila mereka bersaing membeli telefon bimbit berjenama,'' katanya.
Mohd. Ali berkata, dasar itu juga boleh mendatangkan keburukan termasuk pelajar terdedah dengan pencemaran bahasa dan penyebaran gambar lucah jika tidak dipantau.
Setiausaha Agung Kesatuan Profesion Perguruan Kebangsaan, Lok Yim Pheng mengalu-alukan langkah tersebut kerana ia akan mendedahkan pelajar kepada teknologi maklumat (IT).
``Pada zaman ini, kita tidak boleh membataskan pelajar menggunakan telefon bimbit.
``Jika kita sekat pelajar menggunakan telefon bimbit, bermakna kita menghalang pelajar terdedah kepada IT,'' katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata, murid sekolah rendah terutama di tahun 1, 2 dan 3 tidak digalakkan menggunakan telefon bimbit kerana umur mereka yang masih rendah.